Emas tersebut hadir menerusi acara 10 meter platform seirama campuran bersama pasangan baharunya, Jellson Jabillin untuk menjadi kutipan emas ke-11 buat skuad negara pada Sukan SEA kali ini.

Mereka mengungguli acara itu selepas merekod catatan keseluruhan 311.94 mata mengatasi pencabar terdekat, Singapura, Freida Lim Shen-Jonathan Chan di kedudukan perak (278.28), gangsa menjadi milik Della Dinarsari-Andriyan (244.32).

Penampilan kali pertama Mun Yee adalah ketika Sukan SEA 1997 di Jakarta ketika berusia 13 tahun dan pertama di Kuala Lumpur adalah 2001 sekali gus menyaksikan sudah 20 tahun dia menabur bakti kepada skuad terjun negara.

Mun Yee, 32, memberitahu, Sukan SEA 2001 dan 2017 memberi pengalaman berbeza dari segi suasana, umur dan tahap gemuruh dalam diri.

“Mungkin dapat lihat saya lagi beraksi di Sukan SEA akan datang tetapi semua bergantung dengan tahap prestasi,” katanya yang mahu melengkapkan 17 pingat emas secara peribadi sepanjang beraksi di temasya sukan itu.

Sementara itu, Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri turut menghadirkan emas buat kem negara menerusi acara tiga meter papan anjal seirama wanita.

Duo negara mudah merangkul emas yang dimenangi di edisi dua tahun lalu, dengan meraih markah tertinggi 304.71 mata.

Dalam pada itu, Ahmad Amsyar Azman dan Chew Yiwei menghadiahkan emas menerusi acara tiga meter papan anjal seirama lelaki.