Walaupun dibelenggui kecederaan buku lali sejak Jun tahun lepas, atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mencatatkan lompatan sejauh 15.93 meter untuk menewaskan pencabar terdekat yang juga rakan sepasukannya Jonathan Larus (15.03 meter) dan Andre Anura yang mewakili Sabah (14.56 meter).

Muhammad Hakimi, 26, yang memenangi pingat perak di Kejohanan Olahraga Terbuka Filipina pada 1 April lepas dengan lompatan terbaik musim ini iaitu 16.06 meter, masih belum dapat mengatasi rekod kebangsaan 16.76 meter yang dicatatnya untuk meraih emas pada Sukan SEA Singapura dua tahun lepas.

Dengan kecederaannya beransur pulih dan sedang menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan, atlet itu giat membuat persediaan bagi menghadapi KL2017 yang bakal berlangsung Ogos nanti.

“Saya juga akan menyertai Kejohanan Terbuka Singapura dua minggu lagi dan berusaha menambah baik lompatan sebagai latihan persediaan Sukan SEA nanti,” katanya

Kejohanan Olah­raga Tertutup Malaysia dan Kejohanan Olahraga Terbuka Perak, yang berlangsung dua hari bermula hari ini, turut menyaksikan beberapa acara tumpuan berikutan penyertaan pemenang Sukan SEA Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Nauraj Singh (lompat tinggi). – BERNAMA