Juara Wimbledon, Muguruza mengambil alih kedudukan teratas daripada Karolina Pliskova selepas pemain kelahiran Republik Czech itu tewas di peringkat suku akhir di New York kepada Coco Vandeweghe.

Pemain AS, Stephens yang berada di ranking 957 dunia enam minggu lalu selepas berehat panjang susulan kecederaan melonjak 66 anak tangga untuk menduduki kedudukan ke-17 dunia.

Peningkatan drastik yang dibuat Stephens hadir selepas dia menjuarai Terbuka AS dengan menewaskan rakan senegara, Madison Keys 6-3, 6-0 di pentas final.

Sementara itu, Keys turut memperbaiki kedudukan rankingnya untuk menghuni tangga ke-12 dunia berbanding 16 sebelum ini.

Juara tujuh kali Grand Slam, Venus Williams, 37 juga kembali ke kelompok lima terbaik buat kali pertama sejak Januari 2011 manakala adiknya, Serena yang tidak beraksi kerana melahirkan anak terkeluar daripada kelompok 20 terbaik buat kali pertama dalam tempoh enam tahun.

Bintang Russia, Maria Sharapova yang melangkah ke pusingan keempat dalam penampilan pertamanya di Grand Slam sejak digantung susulan kesalahan doping berada di ranking 103 dunia.

Pemain Jerman, Angelique Kerber yang memulakan kempen 2017 di ranking pertama dunia pula tergelincir ke tangga ke-14 selepas usahanya untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka AS gagal apabila tersingkir seawal pusingan pertama. – AFP