Bintang Sepanyol berusia 23 tahun itu ditunjukkan jalan keluar 1-6, 6-3, 3-6 dalam perlawanan di Suzanne Lenglen Court, yang penuh dengan penonton Perancis yang memberi sokongan padu kepada Mladenovic.

Mladenovic, 24, atau lebih dikenali sebagai Kiki memenangi hati peminat minggu ini selepas diberi amaran oleh pakar perubatan agar bersedia untuk menarik diri seawal set pertama kejohanan akibat kecederaan belakang.

Dia bagaimanapun menceriakan penyokong de­ngan bangkit daripada ketinggakan 2-5 di set ketiga sebelum mengetepikan pemain No. 4 dunia, Muguruza dan menempah pertemuan de­ngan Timea Bacsinszky dari Switzerland di suku akhir.

“Layanan penonton terhadap saya agak ‘keras’. Saya faham (sokongan terhadap Mladenovic) tetapi mereka sepatutnya menunjukkan sedikit rasa hormat.

“Pengadil beberapa kali terpaksa menenangkan penonton. Saya berada di sini bukan mahu mencari musuh, malah saya suka bermain di sini. Namun, saya tidak rasa bagus sepanjang perlawanan hari ini,” kata Muguruza.

Muguruza mengakui, dia sukar untuk bermain dalam keadaan sebegitu, sambil menyifatkan penyingkirannya pada Terbuka Pe­rancis sesuatu yang memeriktkan.

Mladenovic, 24, melakukan 16 kesilapan berganda, tetapi berjaya meneruskan kemaraan dalam perlawanan yang berlangsung bising ekoran sorakan penyokong.

“Saya tidak fikir mereka bertindak keterlaluan. Memang ada dua kali keadaan agak teruk apabila penonton menjerit antara servis pertama dan ke­dua kerana ketika itu saya melakukan kesilapan berganda.

“Namun, hanya itu yang berlaku. Selain itu, penonton berlaku adil,” kata Mladenovic.

Pemain wanita Perancis tidak pernah memenangi kejuaraan di Roland Garros sejak Mary Pierce berbuat demikian pada 2000.

Pilihan ke-13, Mladenovic me­nyertai Bacsinszky, Caroline Wozniac­ki dan Jelena Ostapenko mara ke peringkat lapan terbaik.

Terdahulu, Bacsinszky layak ke suku akhir selepas menyingkirkan pemilik tujuh gelaran Grand Slam, Venus Williams dari Amerika Syarikat 7-5, 2-6, 1-6.

Dalam saingan lelaki, Rafael Nadal meneruskan aksi dominan apabila menundukkan Roberto Bautista Agut 6-1, 6-2, 6-2 untuk menempah tiket suku akhir.

Pilihan kedua, Novak Djokovic turut mara setelah menewaskan pilihan ke-19, Albert Ramos-Vinolas 7-6, (7/5), 6-1, 6-3. – AGENSI