Juara Wimbledon, Muguruza yang mendahului 2-1 pada set penentuan menentang pemain Serbia, Aleksandra Krunic dalam pusingan kedua kejohanan pemanas badan menjelang Grand Slam pertama musim ini, terjatuh selepas menyempurnakan servis.

Pemain Sepanyol itu yang di­letakkan selaku pilihan pertama tidak dapat meneruskan aksinya dan memberikan kemenangan ke atas Krunic 5-7, 7-6 (7/3), 2-1.

“Saya berasa tidak selesa dalam set kedua sewaktu mendahului 2-0. Saya mula berasakan ketegangan pada betis saya,” kata Muguruza.

Muguruza memenangi set pertama dalam perlawanan yang berlangsung sengit dan kemudian hampir menamatkan persaingan dengan straight set ke atas Krunic apabila mendahului selesa 5-2 pada set kedua.

Bagaimanapun, dia mula kelihatan bergelut ketika perlawanan yang berlangsung dalam cuaca panas dan lembab dengan suhu 30 Celsius, manakala Krunic berusaha bangkit sebelum mencipta kemenangan menerusi tiebreak.

Muguruza terpaksa mendapatkan rawatan fisio di dalam gelanggang sebelum memulakan aksi set penentuan dan mendahului Krunic sebelum terjatuh selepas melakukan pukulan servis.

“Saya terus meyakinkan diri saya, sebaik sahaja perlawanan diteruskan masalah ketegangan itu mungkin akan hilang, tetapi kesakitan yang saya rasakan sebaliknya semakin teruk. Selepas itu, seluruh tubuh saya mula berasa tegang,” ujar Muguruza.

Kekalahan tersebut sekali gus menutup peluang Muguruza memintas kedudukan Simona Halep dan menjadi pemain No. 1 dunia sebelum undian dibuat menjelang Terbuka Australia yang akan bermula pada 15 Ja­nuari.

Sementara itu naib juara tahun lalu Alize Cornet mara ke peringkat lapan terbaik selepas menang straight set ke atas pemain Croatia, Mirjana Lucic-Ba­roni 6-1, 7-5. – AFP