Ahmad Shapawi Ismail

Ruangan Mat Sport mencadangkan kepada MSN agar me­nyarankan setiap persatuan sukan kebangsaan meletakkan had kelayakan untuk menyertai setiap kejohanan peringkat kebangsaan dan menjadikan Sukma sebagai medan untuk atlet melayakkan diri.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya bersikap terbuka untuk membincangkan cadangan yang dikemukakan itu dan turut mendedahkan pihaknya juga telah mempunyai idea tersendiri bagi memastikan persatuan sukan kebangsaan lebih aktif me­nganjurkan pertandingan.

Tambah Ahmad Shapawi, pihak persatuan sukan kebangsaan juga seharusnya memikirkan cara terbaik untuk me­ningkatkan kualiti atlet mereka dengan memperbanyakkan kejohanan terutama melibatkan remaja.

“Dalam situasi ini, pihak persatuan sukan kebangsaan harus mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan peluang buat atlet-atlet negeri mereka bertanding dalam kejohanan peringkat kebangsaan.

“Saya turut berpendapat Sukma jangan sekadar dijadikan medan kelayakan sahaja tetapi persatuan sukan kebangsaan juga harus memainkan peranan untuk menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan dan remaja kebangsaan mereka setiap tahun juga.

“Bagi saya sendiri jika persatuan sukan kebangsaan dapat menganjurkan pertandingan melibatkan sukan masing-masing sebagai kelayakan menyertai Sukma maka itu juga amat baik,” katanya ketika ditemui pembe­rita di sini, hari ini.