Petinju veteran berusia 37 tahun itu melemahkan lawannya dengan siri kombinasi tumbukan padu di pusingan kelapan sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan TKO ketika 43 saat di pusingan kesembilan.

Tumbukan pantas dan kelajuan kaki Mosley memberi kelebihan ketika menguasai pertarungan di setiap pusingan dan memperbaiki rekod kariernya kepada 46-5 dengan 39 KO.

Margarito yang dikenali sebagai 'Tornado Tijuana' kerana gaya agresifnya, merosot dengan rekod 37-6 dengan 27 KO.

"Ia memang strategi saya, fokus dan pertarungan saya ini memang untuk menang. Saya mempunyai jurulatih yang bagus. Saya tahu akan berdepan pertarungan sukar namun saya mempunyai perancangan baik.

''Margarito sangat bertenaga cuma dia tidak dapat menandingi rentak saya dan ini membuatkan saya lebih mudah,'' kata Mosley.

Disaksikan 20,820 penonton, kedua-dua petinju mempamer pertarungan seimbang di pusingan awal dengan Mosley memiliki sedikit kelebihan.

Petinju California itu mengelak tumbukan kiri lawan sebelum membalas dengan melepaskan tumbukan ceduk serta tumbukan ke badan Margarito.

Margarito bangkit dengan rentak agresif di pusingan kedua, memaksa Mosley bertahan apabila diasak hingga ke tali gelanggang.

Walaupun Mosley melepaskan beberapa tumbukan, Margarito sebaliknya lebih agresif dengan tumbukan tangan kanan. - Reuters