Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi berkata, juara terjun dunia itu kini sedang mendapatkan rawatan daripada Institut Sukan Negara (ISN) setelah mengalami kecederaan di lutut kiri ketika menjalani latihan di Bukit Jalil.

Azim yang juga Chef de Mission (CDM) ke Sukan Asia bagaimanapun berkata, beliau akan mengesahkan sama ada ratu terjun tersebut berupaya menyertai Sukan Asia yang akan bermula pada 18 Ogos depan selepas mendapat laporan penuh perubatan daripada ISN Khamis ini.

“Saya risau mengenai insiden yang menimpa Jun Hoong tetapi ketika ini kami akan merujuk kepada laporan kesihatan daripada ISN terlebih dahulu untuk melihat sejauh mana tahap kecederaannya itu.

“Segala keputusan mengenai penyertaannya dalam Sukan Asia akan diketahui Khamis ini. Apa yang saya diberitahu, Jun Hoong mengalami kecederaan sahaja dan sedang menjalani rawatan.

“Harapan saya cuma satu dia mampu beraksi dan berupaya mengharumkan nama negara,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Wisma MOM di sini hari ini.

Jun Hoong dan Pandelela Rinong merupakan gandingan terbaik skuad terjun negara untuk meraih pingat acara 10 meter platform terjun seirama dalam temasya itu nanti.

Terdahulu, Malaysia menerima tamparan hebat susulan penarikan diri seorang lagi prospek emas yang juga jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei daripada Sukan Asia atas masalah kesihatan.

Dalam perkembangan berkaitan. MOM telah mengenal pasti tiga jenis sukan iaitu bola sepak, badminton dan silat berisiko tinggi untuk ‘diserang’ oleh penonton tuan rumah Sukan Asia.

Jelas Azim, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama tiga jenis sukan terbabit berhubung keselamatan, selain menasihati atlet, pegawai dan penyokong agar tidak melakukan sebarang provokasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Asia akan berlangsung pada 10 Ogos ini di Putrajaya, dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka menghadiri upacara tersebut.

-habis./././