Beliau berkata dengan berbaki sembilan hari lagi sebelum menutup tirai rasminya, kontinjen negara mampu merealisasikan impian dengan sekurang-kurangnya dua kilauan emas pada temasya itu yang dijangka hadir di Palembang.

Selepas hampir seminggu temasya sukan kedua terbesar di dunia itu membuka tirai, Malaysia hanya meraih sebutir emas (setakat 1 tengah hari ini) yang hadir menerusi trio boling wanita negara; Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

"Saya masih optimis kita boleh raih sekurang-kurangnya enam emas lagi dan perjuangan belum selesai. Kalau kita lihat di Palembang, kita boleh sekurang-kurangnya raih satu atau dua emas lagi dan berharap empat lagi, atau lebih berbanding di Jakarta.

"Saya rasa kalau kita dapat dua lagi emas di sini, masing-masing daripada boling dan sepak takraw, ia akan memudahkan kita untuk untuk mencari empat emas di Jakarta," katanya kepada media Malaysia di Perkampungan Atlet, di sini hari ini.

Norza turut berharap, kejayaan atlet negara di kluster Palembang meraih sebutir emas dan dua perak, mampu mencetuskan semangat atlet negara yang berjuang di Jakarta untuk meneruskan misi pemburuan pingat. - BERNAMA