MOHD. AL JUFFERI JAMARI (kanan) positif untuk memburu pingat emas keempat berturut-turut dalam Sukan SEA dan kali ini di laman sendiri.

Untuk itu, Mohd. Al Jufferi yang akan bertanding dalam acara silat olahraga Kelas Putra E (65-70 kilogram) mahu menghasilkan keputusan yang terbaik di depan penyokong sendiri ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

“Saya sudah berjaya capai hatrik, menang tiga kali berturut-turut dalam temasya Sukan SEA sebelum ini dan hatrik dalam kejuaraan dunia. Sasaran saya sekarang ini memburu pingat emas keempat berturut-turut dalam temasya ini,” katanya.

Mohd. Al Jufferi memenangi tiga pingat emas Sukan SEA berturut-turut sejak 2011 di Indonesia dan mengulanginya di Myanmar pada 2013, sebelum mencipta hatrik pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Mengulas mengenai pencabar terdekat, pesilat negara itu pantas menyebut wakil dari Indonesia dan Vietnam yang pasti mampu menggugat usahanya mempertahankan pingat emas.

“Bagi saya semua pesaing adalah kuat tapi yang spesifik adalah dari Indonesia dan Vietnam. Itu memang musuh ketat saya dalam acara ini,” katanya. – BERNAMA