Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun masih ada beberapa kekurangan dari segi hiasan dan aspek keselamatan, namun MITEC dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan.

“Dua peratus yang akhir itu adalah lebih kepada untuk me­lakukan sentuhan terakhir seperti kerja-kerja hiasan serta peralatan teknikal dan keselamatan yang perlu dimasukkan ke dalam ve­nue di MITEC dalam seminggu dua ini,” katanya selepas mengadakan lawatan di venue yang akan mempertandingkan lapan jenis sukan itu hari ini.

Turut sama menyertai lawatan itu adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif NAZA Corporation Hol­ding, SM Nasarudin SM Nasimuddin. NAZA merupakan pemaju kepada projek pembinaan MITEC.

Sukan yang akan dipertandingkan di MITEC adalah gimnastik, lawan pedang, pingpong, bola tampar, angkat berat, muay, hoki dalam dewan dan tinju.

Bukit Jalil menjadi gelanggang terbesar KL2017 yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Menurut Khairy lagi, tempat duduk secara pasang siap untuk penonton sudah bersedia untuk digunakanm begitu juga dengan pemasangan kemudahan yang terdapat di gelanggang telah dilakukan dengan baik.

“Saya jangkakan persiapan akan siap sepenuhnya pada 8 Ogos ini apabila dirasmikan oleh Perdana Menteri,” tegasnya.

Mengenai penggunaan untuk atlet negara menyesuaikan diri, Khairy berkata, pingpong, tinju, lawan pedang dan gimrama sudah memasuki gelanggang di MITEC untuk memulakan latihan hari ini.