Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) bagaimanapun mendakwa perubahan warna air kolam itu tidak akan mengancam keselamatan atlet tetapi pakar kualiti air bebas memandang serius terhadap masalah itu.

FINA memberitahu, perubahan warna air kepada hijau daripada biru menyebabkan barisan atlet yang mengambil bahagian tidak dapat melihat dengan ketika memasuki kolam disebabkan tangki air di kolam itu ‘kehabisan beberapa bahan kimia’ yang diperlukan dalam proses rawatan air.

Masalah sama turut menimpa venue polo air dengan warna air biru jernih semakin bertukar ke arah warna hijau.

“Berikutan tahap pH air yang di luar daripada julat biasa, menyebabkan perubahan warna.

“Jawatankuasa Perubatan Sukan FINA melakukan ujian terhadap kualiti air dan membuat kesimpulan yang tiada risiko terhadap keselamatan dan kesihatan atlet serta tiada alasan bagi kejohanan itu terganggu,” kata FINA.

Jurucakap Rio, Mario Andrada menekankan ‘air akan berubah warna ke biru mulai sekarang’ selepas pakar air melakukan beberapa siri ujian.

“Sangat hijau. Apabila semakin malam keadaan menjadi lebih teruk,” kata penerjun Britain, Tonia Crouch.

Penasihat Rawatan Air Kolam Renang berpangkalan di London, Ralph Riley berkata, kekurangan bahan disinfektan merupakan punca utama masalah itu.

“Jika bertukar hijau, adalah kerana tidak mempunyai cukup disinfektan yang bakal menyebabkan beberapa risiko,” kata Riley kepada USA TODAY. – AGENSI