Mertec yang diperkuatkan Abd. Hamid. V. Zakariah sebagai tekong, Zailani Yaakob (apit kiri) dan Hasmadi Che Hassan (apit kanan) tunduk 16-21, 16-21 sekali gus gagal mengulangi kejayaan menewaskan regu Suka Suka A dalam separuh akhir yang turut berlangsung hari ini.

“Regu kedua Suka Suka yang kami tentang dalam perlawanan akhir ini lebih baik dari segi mengawal permainan berbanding satu lagi regu mereka di separuh akhir.

“Apa pun kami sudah mencuba yang terbaik dan tidak kecewa hanya muncul naib juara sahaja. Lagi pun Suka Suka memang memiliki banyak kelebihan kerana mereka mempunyai dua wakil kuat di separuh akhir.

“Kami pula bersendirian terpaksa berdepan dua perlawanan sukar dalam sehari. Kami akan kembali lagi tahun depan untuk menebus kegagalan ini,” kata jurulatih Abdul Rahman V. Zakariah.

Pengurus Suka Suka, Ahmad Khairi Shafie mengakui tekong mereka Norali Abdullah banyak memainkan peranan untuk mengkucar-kacirkan pertahanan Mertec menerusi servis yang mengelirukan.

“Kita tahu pertahanan Mertec bagus. Jadi apa yang berjaya kami lakukan ialah menggunakan kepakaran tekong kami dalam melakukan servis pancung.

“Strategi itu berjaya apabila persefahaman regu lawan juga mula goyah dan menyukarkan mereka untuk mengejar kami,” katanya.

Selain Norali, Suka Suka turut diperkuatkan apit kiri Suhaimi Yusof dan apit kanan Ismail Osman untuk merangkul kejayaan dalam kategori Veteran yang kali pertama diadakan dalam Kejohanan Sepak Takraw Utusan.