Abdul Halil Abd. Mutalib

Allahyarham Abdul Halil, yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 malam tadi akibat kanser hati.

Menurut laman Facebook rasmi JKDM, jenazah Allahyarham Abdul Halil dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas, Ampang sebelum Zuhur selepas disembahyangkan di Masjid Jamil Huda, Kampung Melayu Ampang, Ampang, Se­langor.

Presiden Persatuan Mema­nah Kedah, Datuk Abdul Hamid Hasan yang rapat dengan Allahyarham berkata kehilangan Abdul Halil pastinya akan dirasai oleh NAAM kerana sumba­ngannya yang terlalu besar untuk persatuan itu sepanjang berkhidmat sebagai presiden.

“Kejayaan pertama Allahyarham Abdul Halil adalah pada tahun 1997 apabila dia bersama persatuan berjaya menganjurkan Kejohanan Memanah Asia di Langkawi, Kedah.

“Sejak itu, pelbagai program dianjurkan serta ba­nyak lagi projek yang di­uruskan bersama Majlis Sukan Negara sehingga membolehkan atlet memanah kita berjaya me­nyertai Sukan Olimpik seba­nyak empat kali berturut-turut bermula tahun 2004,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, Allahyarham Abdul Halil adalah seorang yang berpendirian teguh dan cekap membuat keputusan dengan mengambil kira pelbagai sudut dari segi kesan dan sebagainya.

“Apa-apa keputusan yang dilakukannya adalah muktamad. Bagaimanapun, Allahyarham Abdul Halil juga seorang yang lembut, membuatkan kami yang bekerja bersamanya berasa selesa.

“Allahyarham Abdul Halil juga terbuka dan bersedia menerima pendapat orang lain dan tidak pernah memaksa sesiapa untuk melakukan sesuatu,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham, yang meninggalkan balu Puan Sri Nabiha Mahmur dan tiga orang anak, masih mengambil berat mengenai NAAM dan mengambil tahu perkembangan atlet memanah dalam Olimpik Rio 2016 baru-baru ini.

“Allahyarham pernah meluahkan kekecewaannya apabila atlet negara masih tidak mampu mendapatkan pingat walaupun sudah empat kali berturut-turut berjaya ke temasya tersebut, tetapi sokongannya terhadap skuad negara tidak pernah luntur,” ujarnya.