Megat Zulkarnain Omar Din

Megat Zulkarnain yang juga merupakan seorang senator, telah membangkitkan itu itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Negara, kelmarin atas permintaan MOM.

“Jadi saya merayu kepada kementerian mungkin dapat pertimbangkan persatuan sukan yang menerima tajaan dikecualikan daripada dikenakan GST kerana wang yang mereka terima adalah untuk pembangunan sukan dan melahirkan atlet-atlet cemerlang dan mungkin suatu hari nanti atlet ini dapat menjadi penyumbang pingat emas Olimpik pertama kepada negara.

“Dalam mensyurakat jawatankuasa bulan lalu saya berjanji dengan semua persatuan sukan kebangsaan untuk mebentangkan isu ini di Dewan Negara kerana kebanyakan mereka bukan mengeluh tetapi memberi cadangan supaya jika dapat kecualikan (sumbangan kepada persatuan sukan) daripada GST.

“Oleh itu, saya berharap ming­gu depan pihak kementerian dapat memberi jawapan daripada sudut positif agar negara terus melahirkan lebih ramai atlet yang cemerlang untuk mengharumkan nama negara dalam bidang sukan di persada dunia,” katanya.

Pada 8 November lalu, Se­tiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo berkata, pelaksa­naan GST pasti merumitkan pihak penaja dan penderma yang menyumbangkan wang tunai atau barangan kepada persatuan sukan dan adalah tidak adil kepada mereka apabila terpaksa mengeluarkan tambahan enam peratus daripada nilai ta­jaan yang bukanlah bermatlamatkan keuntungan.

Sehubungan itu MOM meminta Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula pelaksanaan GST ke atas sumbangan dan penajaan oleh badan korporat mahupun yayasan yang hanya bertujuan membantu membangunkan sukan negara.

Tambah Megat, MOM dan persatuan sukan kebangsaan yang amat bergantung kepada sumbangan pihak korporat, akan terpaksa pula mengeluarkan sumber sendiri yang amat terhad untuk membayar kadar enam peratus GST itu sekiranya penderma dan penaja memutuskan untuk enggan menanggungnya.

“MOM dan semua persatuan sukan bukan berniaga atau mencari keuntungan sebalik­nya amat bergantung kepada penajaan dan derma. GST yang dikenakan juga tidak adil kepada penaja (sedangkan) mereka hanyalah bertujuan membantu membangunkan sukan bukan ada agenda untuk meraih keuntungan.

“Tidak adil jika penderma dan penaja perlu menambah enam peratus (ke atas nilai penajaan) sedangkan jumlah itu sudah tentu boleh digunakan untuk sukan. GST sepatutnya hanya dikenakan kepada perniagaan sedangkan pembangunan sukan bukan dalam kategori itu,” jelasnya.