Setiausaha Kehormat Makaf, Vincent Chen berkata, Megat yang juga Naib Presiden MOM disifatkan sebagai seorang pemim­pin yang dinamik dan paling sesuai mengisi jawatan tersebut, sekali gus berupaya memajukan sukan tanah air.

Jika benar, ia bakal menyajikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Azim Zabidi dan Setiausaha Agung Persatu­an Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang timbul ura-ura dicalonkan termasuk Megat.

Azim adalah nama pertama yang timbul pada bulan lalu untuk pemilihan MOM yang dijang­ka diadakan Jun ini, disusuli Hamidin tiga hari lalu, dan terkini Megat.

“Makaf memang sokong Megat sebab kami rasa beliau merupakan pemimpin yang dinamik dan masih muda. Beliau boleh seiring dengan kepimpinan generasi baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pemilihan ahli jawatankuasa MOM bagi penggal baharu kali ini, de­ngan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang sudah memegang jawatan itu hampir 20 tahun mengumumkan untuk mengosongkan kerusi pre­siden dan di­serahkan kepada Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang ketika ini adalah timbalannya.

Belum lagi menerima, apatah lagi menolak, Megat ketika ditemui pada mesyuarat jawatankuasa pemilihan Anugerah Sukan Negara 2017 di Bukit Jalil hari ini berkata, beliau menghargai Makaf sekiranya ingin membuat pencalonan untuknya bertanding.

“Terlalu awal untuk saya membuat keputusan, tetapi mungkin saya terima sekiranya ada pencalonan memandangkan jawatan tersebut akan kosong, secara sepakat kita telah bersetuju Norza mengisi jawatan Presiden MOM,” katanya.