Mayweather, 40, sanggup membayar 11,000 pound (RM60,650) untuk seekor panda gergasi yang dijadikan panda angkatnya ketika berkunjung ke China baru-baru ini.

Panda tersebut yang dilahirkan pada Jun, 2016 sebelum ini dikenali sebagai Maodou (kacang soya) tetapi namanya kini ditukar kepada TMT Floyd Mayweather.

Menurut laporan Daily Mirror dan The Sun, TMT Floyd Mayweather akan terus dipelihara di Pusat Penyelidikan Panda Chengdu di bawah biayaan Mayweather, dan semalam petinju kelahiran Michigan itu menghabiskan masanya untuk memberi makan kepada panda tersebut.

Selepas menerima habuan jutaan ringgit menerusi ‘pertarungan wang’ menentang Conor McGregor pada 26 Ogos lalu, Mayweather mengumumkan persaraan buat kali kedua dan kini menikmati masa luangnya dengan memenuhi jemputan ke beberapa negara Asia.

Mayweather dalam Instagram mendedahkan, kunjungan ke negara-negara tersebut bukan satu lawatan ‘kosong’, sebaliknya dia dibayar sehingga mencecah AS$3 juta (RM12.28 juta).

Dia kini dalam jelajah ke China yang membawanya ke Beijing, Chengdu serta Shanghai, selain Hong Kong dan Macau.

“Datang ke sini bersama 23 orang adalah satu pengalaman yang hebat dan ia tidaklah teruk apabila anda dibayar AS$3 juta hanya untuk lawatan ringkas, selain mendapat percutian mewah selama beberapa hari,” tulisnya. - UTUSAN ONLINE