Mat Sport
Mat Sport

Jika diimbas kembali, kali terakhir Mat menulis ialah pada 10 Januari lalu berkaitan ingatan dan amaran yang Mat berikan kepada seorang pegawai tinggi sukan negara.

Kini angin pe­ru­bahan telah membawa senario baharu se­perti berubahnya kepemimpinan negara selepas berakhir Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei lalu.

Mat terpanggil untuk memulakan kembali coretan ini dengan segera ke­rana transisi kepimpinan negara ternyata memberi kesan besar kepada persiapan atlet negara yang dilihat berserabut dan bercelaru dek lewatnya pelantikan Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

Kata orang ‘apa pun tak boleh buat’ apatah lagi dengan persiapan ke Sukan Asia dan Program Podium dilihat antara yang terjejas teruk disebabkan peruntukan yang terhad atau pun tidak dapat diluluskan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Maka terhentilah seketika pelbagai program pembangunan sukan yang mahu dilakukan termasuk bajet untuk menganjurkan kejohanan, mengisi kantung persatuan sukan, pe­nyambungan kontrak atlet podium dan sebagainya.

Malah ada persatuan sukan sudah mula bimbang atlet mereka akan dikeluarkan daripada Program Podium dek kerana bajet yang semakin mengecil dan berkurangan.

Ini belum lagi keresahan yang membabitkan pengerusi, ketua pegawai eksekutif, ketua pengarah dan lembaga pengarah agensi sukan kerajaan yang mula ‘panas punggung’ mengenai kedudukan dan jawatan mereka.

Perlu diingat, jangan asyik sibuk berpolitik, sukan negara pula yang menjadi mangsa dan terabai.

Pecat orang sana, pecat orang sini tetapi masalah tidak juga dapat diselesaikan. Hendak buat mesyua­rat kaji semula kontrak Podium pun tergendala.

Malah hendak menunggu semuanya kembali ke landasan dan mengikut kehendak kerajaan baharu mungkin mengambil masa.

Pemecatan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) misalnya memang sudah dijang­ka dan mungkin perubahan juga akan berlaku untuk jawatan utama dalam agensi atau syarikat sukan berkaitan kerajaan yang lain.

Seruan Mat, buatlah apa sahaja yang mahu dibuat, kerajaan baharu! Tetapi ja­ngan mengambil masa yang lama. Segera fokus kerana Sukan Asia 2018 hanya tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi.

Persoalannya sekarang, mana kem latihannya, mana pakaian seragam kontinjen negara, mana elaun atletnya, mana tiket penerbangannya dan mana persiapannya?