Selain menunjukkan peningkatan dalam pungutan pingat, empat rekod temasya (Muhammad Hakimi Ismail - lompat kijang, Jackie Wong - ba­ling tukul besi, Grace Wong - baling tukul besi wanita dan Nauraj Singh Randhawa - lompat tinggi lelaki) membuktikan olahraga negara berada di landasan betul.

Kejayaan pelari berusia 19 tahun, Khairul Hafiz Jantan dinobat sebagai Raja Pecut Asia Tenggara dengan menjuarai acara 100 meter juga menunjukkan masa depan olahraga kini cukup cerah.

Dalam Sukan SEA 2001, olahraga meraih lapan emas, lima perak dan sembilan gangsa, namun pencapaian terbaik olahraga ketika Malaysia menjadi tuan rumah kekal pada temasya 1989 yang menyaksikan kem negara meraih 12 pingat emas.

Lapan emas diraih itu juga mengatasi sasaran enam emas yang ditetapkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), sekali gus membolehkan Presidennya, Datuk Karim Ibrahim menarik nafas lega.

Selain kejayaan Khairul Hafiz merampas takhta 100m lelaki selepas 14 tahun, Rayzam Shah Wan Sofian turut cemerlang memenangi saingan 110m lari berpagar selepas 10 tahun.

Atlet heptatlon wanita, Norliyana Kamaruddin turut mencuri tumpuan apabila melebur rekod berusia 36 tahun milik Datuk Zaiton Othman.

Norliyana menamatkan sai­ngan di kedudukan keempat de­ngan 5,247 mata memadam catatan lama 5,175.

Dalam pada itu, Karim berkata, bantuan kewangan daripada Kementerian Belia Sukan (KBS) memboleh­kan KOM merangka program pembangunan lebih baik sebelum Sukan SEA.

“Saya perlu berterima kasih kepada kerajaan dan kejayaan atlet ini juga adalah hasil program Kita Juara yang banyak membantu olahraga meraih kecemerlangan.

“Dalam masa sama saya juga berharap ada beberapa atlet yang mampu diserap dalam Program Podium bagi menghadapi Sukan Asia tahun depan.

“Kejayaan meraih lapan emas ini juga bukti keupayaan olahraga negara untuk meningkat,” kata Karim.

Lapan emas yang diraih membolehkan Malaysia berada di kedudukan ketiga keseluruhan di belakang Vietnam (16 emas) serta Thailand (sembilan emas).