Mat Sport

Semua sudah tahu bahawa kerusi presiden akan menampilkan pertembungan antara bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, Mat tidak mahu mengulas mengenai kedua-dua calon itu kerana semua lebih arif mengenai latar belakang mereka selain sumbangan mereka ke­pada pasukan masing-ma­sing.

Apa yang menarik perhatian Mat ketika ini ialah pemilihan teraju kepemimpinan FAM kali ini lebih mirip kepada pilihan raya kerana setiap calon yang bertanding memiliki ‘manifesto’ tersendiri bagi menyerlahkan visi mereka jika dipilih menjadi ‘ahli keluarga’ FAM.

Sangat menarik, kerana ‘manifesto’ yang disediakan itu menunjukkan bahawa calon-calon bertanding kali ini memiliki wawasan untuk memajukan bola sepak negara menerusi perancangan jangka panjang, pengagihan kewangan dan pelan bagi meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Mat ada terfikir, adakah ‘manifesto’ ini benar-benar akan direalisasikan dan bersediakah calon-calon ini untuk mengotakan janji mereka sekiranya dipilih?

Menerusi misi dan visi mereka ini, memang diakui Mat juga sangat teruja kerana Harimau Malaysia mampu menjadi antara pasukan yang digeruni di persada antarabangsa pada masa akan datang selain kelab-kelab di dalam Liga Malaysia juga mampu berdiri setanding liga-liga terkemuka dunia.

Masalahnya sekarang ini, Mat nampak ‘manifesto’ ini tidak lebih dari sekadar untuk meraih undi daripada ahli gabungan sahaja, ialah pemilihan sudah dekat, jadi inilah masanya berkempen.

Kenapa Mat kata begitu? Sebabnya ada calon yang menerajui pelbagai persatuan dalam satu-satu masa, bolehkah calon ini memberi sumbangan kepada badan induk sukan bola sepak negara sedangkan tanggungjawab yang sedang digalasnya sudah cukup berat.

Apa pun, ingin Mat nasihatkan ahli gabungan FAM untuk membuat keputusan terbaik pada 25 Mac ini jika benar-benar inginkan perubahan, pilih calon yang mampu lakukan perubahan menyeluruh kepada bola sepak negara.

Jangan biarkan insiden tewas 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) berulang kembali.