Cadangan itu adalah sebahagian daripada 11 perkara yang akan dilakukannya ke atas FAM yang terdapat dalam manifesto beliau jika dipilih untuk menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tunku Ismail dianggap sebagai calon pilihan utama untuk memenangi kerusi Presiden FAM bagi penggal 2017-2021 berbanding seorang lagi calon iaitu Tan Sri Annuar Musa apabila perwakilan dari badan gabungan mengundi di Petaling Jaya dalam Kongres Ke-53 pada Sabtu ini.

Menurut TMJ, beliau berhasrat bekerjasama dengan Exco FAM untuk meminda perlembagaan bagi memberi kuasa kepada penyokong bola sepak.

“Bola sepak adalah milik rakyat dan saya percaya rakyat perlu memilih Presiden, bukannya kongres sedia ada. Anggota Kongres boleh mengundi untuk jawatan lain manakala apa-apa yang mempunyai peranan penting, harus diserah kepada rakyat.

“Saya akan ubah cara pemilihan Presiden dan akan mencadangkan pada masa akan datang, penyokong dan orang ramai diberi kuasa menjadi faktor penentu pemilihan.

“Peranan Presiden FAM bukan berkonsepkan sistem diktator, ini satu peluang untuk kita semua mengubah bola sepak supaya cucu-cicit kita akan berterima kasih kepada kita.

“Saya berada di sini adalah untuk berkhidmat, meninggalkan legasi dan menyediakan struktur organisasi yang akan membawa kebangkitan bola sepak Malaysia dari zaman suram,” katanya dalam laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, manifesto tersebut telah dikaji dengan penuh teliti menerusi perundingan, penyelidikan dan pengalaman yang diketuai oleh beliau.

Beliau turut membayangkan akan merombak sepenuhnya FAM yang didakwanya sudah terbelenggu lebih tiga dekad.

“Rakyat Malaysia telah menyaksikan sendiri dalam tempoh empat tahun yang lalu, kejayaan dan kemajuan JDT telah dicapai di bawah kepimpinan saya dan kini masanya untuk kemajuan ini dilakukan di seluruh negara.

“Saya percaya, sebaik sahaja inisiatif itu dapat dilaksanakan dengan jayanya, ia akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan bola sepak di negara ini,” katanya.

FAM juga, katanya, akan mengadakan sesi dialog bersama penyokong seperti yang dilakukan JDT manakala mesyuarat Exco FAM akan diadakan di negeri-negeri secara bergilir-gilir dengan Sabah sebagai tuan rumah pertama.

“Sebagai Presiden, saya akan merapatkan jurang antara bola sepak negara dengan penyokong kerana ini adalah satu keperluan untuk memberi mereka peluang memainkan peranan lebih besar dalam proses memgembangkan sukan ini.

“Sebagai Presiden FAM, keutamaan saya bukan sahaja tertumpu kepada pasukan kebangsaan, malah seperti apa yang telah anda semua saksikan di JDT, keseluruhan struktur bola sepak adalah perkara yang perlu dirombak.

“Saya akan menjadi presiden yang melakukan kesemua tugas dan kepimpinan serta pengetahuan saya tentunya banyak membantu semua pihak yang berkepentingan dalam proses perubahan penting ini,” katanya.

» Memastikan FAM tidak digunakan untuk kepentingan politik

» Mengubah budaya bola sepak negara dengan FAM dirombak sepenuhnya

» Pembaharuan urus tadbir, mengubah struktur organisasi kebangsaan

» Meminda perlembagaan FAM - penyokong diberi hak memilih Presiden

» Meningkatkan nilai komersial Liga Super dan Liga Premier

» Menyediakan program pembangunan bola sepak negara secara keseluruhan

» Pendekatan global dalam pembangunan bola sepak - menggunakan pakar antarabangsa sebelum akhirnya beralih kepada tenaga kejurulatihan tempatan

» Pasukan kebangsaan akan mempunyai struktur pengurusan di mana Ketua Pegawai Eksekutif melaporkan terus kepada Presiden

» Membina satu proses untuk pengadil 
mempunyai karier sepenuh masa

» Memastikan fasiliti negara menyokong pembangunan 
teknikal 
perlawanan

» Merombak 
keseluruhan struktur bola sepak