Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, di pusat media utama sahaja iaitu di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) menyediakan 744 stesen kerja.

“Jadi, kita harap tiada yang akan duduk di atas lantai. Tetapi pada hari pertandingan, semua orang sibuk dan ingin segera menghantar berita.

“Disebabkan keadaan tersebut, maka pasti ada yang duduk sahaja di mana-mana dan mula mengarang berita. Jadi, kami menggalakkan petugas media ini menggunakan kemudahan yang telah kita sediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Media Utama dan Pusat Penyia­ran Antarabangsa di MITEC yang turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pe­nganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong di sini hari ini.

Bagaimanapun Khairy menjelaskan, pihaknya memahami tuntutan kerja petugas media terutama apabila membuat liputan seperti Sukan SEA.

“Kami cuba yang terbaik untuk menyediakan ruang kerja yang selesa, tetapi anda tahu di dalam mana-mana temasya termasuk Sukan Olim­pik, suasana petugas media duduk di merata tempat pasti akan kelihatan. Inilah sebahagian daripada cabaran apabila bergelar penganjur,” ujarnya.

Menurutnya, pusat media di MITEC yang beroperasi selama 24 jam turut menyaksikan Malaysia melakar sejarah dalam Sukan SEA apabila menyediakan liputan secara besar-besaran yang melibatkan semua aset media.