Halep, 27, naib juara 2014 dan 2017 cemerlang ketika menumpaskan juara 2016, Garbine Muguruza dari Sepanyol 6-1, 6-4 pada separuh akhir.

Begitupun bintang No. 1 dunia dari Romania itu sering bernasib malang setiap kali beraksi di pentas Grand Slam apabila gagal menjulang kejuaraan meskipun mara tiga final, termasuk Terbuka Australia, Januari lalu.

Kekalahan di final Terbuka Perancis 2017 paling mengecewakan apabila dia tunduk 6-4, 4-6, 3-6 kepada pemain tidak ternama Latvia, Jelena Ostapenko biarpun turun sebagai pilihan utama.

Pada 2014, dia dikecewakan bintang Rusia, Maria Sharapova manakala dalam perebutan gelaran Terbuka Australia, Halep akur di tangan jaguh Denmark, Caroline Wozniacki.

“Ya saya tewas dalam tiga final tetapi belum ada orang yang mati kerana hal itu bukan? Jadi, ia bukan masalah besar.

“Bagaimanapun saya kini lebih yakin kerana memiliki pengalaman.

“Sekarang boleh kah kita tukar topik? Cuaca di luar sana cantik sekali,” kata Halep ketika ditanya mengenai rekod buruknya dalam kejohanan Grand Slam.

Bagi Stephens, 25, kejayaan mengalahkan rakan senegara, Madison Keys 6-4, 6-4 pada separuh akhir bukan sahaja membolehkannya mara ke final Terbuka Perancis buat julung kali, malah bakal me­lonjak dalam kelompok lima terbaik apabila ranking dunia dikeluarkan, minggu depan.

Berbanding Halep, bintang Amerika Syarikat (AS) itu juga sudah memiliki satu trofi Grand Slam apabila menjuarai Terbuka AS 2017.

“Saya tidak akan melepaskan peluang ini dan akan cuba meraih kejuaraan. Kalau berjaya meneruskan rentak bagus, harapan menang cerah,” ujar Stephens. – AGENSI