Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Zainal Abas berkata, Malaysia mungkin tidak akan menyertai tiga acara memandangkan skuad negara tidak memiliki atlet yang mampu memberikan tentangan sengit.

“Ada beberapa acara yang memang mungkin kita tak memiliki atlet untuk bersaing atau memberikan cabaran dengan baik. Acara tersebut antaranya jarak jauh khususnya wanita.

“Tak guna kalau kita senaraikan, lepas itu mereka ketinggalan satu atau dua pusingan di belakang nanti. Kita juga kena faham, apabila menghantar atlet itu biarlah berkua­liti dan beri tentangan.

“Kami juga ada menghantar atlet pelapis untuk digilap bakat mereka. Mungkin ada beberapa atlet yang boleh diketengahkan dalam dua atau tiga edisi (Sukan SEA) lagi,” katanya selepas menghadiri mesyuarat pengurus pasukan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyerahkan senarai nama 70 atlet yang akan mewakili negara dalam Sukan SEA 2017 kepada MOM.

Mengenai peluang untuk mendominasi pungutan pingat emas, Zainal mengambil sikap merendah diri dan enggan meletakkan harapan terlalu tinggi sekali pun seorang demi seorang atlet negara memperbaharui rekod kebangsaan.

“Kami akan cuba sebaiknya (untuk meraih sebanyak mungkin pingat emas). Kalau kita lihat pres­tasi atlet berada di tahap yang terbaik.

“Kami masih ada sebulan le­bih sebelum Sukan SEA berlangsung. Ada beberapa pertandi­ngan penting yang boleh kami uji ke­upayaan atlet olahraga kita,” katanya.