Itu peribahasa paling sesuai diberikan kepada 28 pesilat negara setelah lima hari berjuang di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 sejak Ahad lalu, namun bukan pengahalang untuk mereka menjelmakan tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Antara cabaran mereka selain perlu berdepan serangan psikologi penyokong tuan rumah, skuad kebangsaan terpaksa mengharungi jadual bercelaru daripada pe­nganjur kejohanan, dengan kemuncaknya, ‘taktik kotor’ pegawai perubatan terhadap pesilat pelapis negara, Zarish Hakim Shukor yang pengsan di dalam gelanggang.

Begitupun, Malaysia tetap berupaya melakar sejarah tersendiri apabila dua jaguh negara, Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Nasir muncul pesilat dunia pertama merangkul gelaran hatrik, manakala Razak Ghazali muncul juara dunia baharu.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyifatkan Malaysia berada di landasan tepat untuk melahirkan lebih ramai pesilat yang setaraf dengan Jufferi dan Siti Rahmah.

“Mereka (Jufferi, Siti Rahmah dan Razak) memang layak berada di tempat mereka sekarang. Kami tak nafikan banyak pelapis sedang dibentuk menerusi program pembangunan negeri selain daripada Pesaka sendiri,” katanya.

Malaysia menutup kempen di tangga ketiga dengan tuan rumah mengungguli kedudukan apabila mengutip 12 emas, empat perak dan empat gangsa, diikuti Vietnam empat emas, tujuh perak dan lapan gangsa.

Tambah Megat Zulkarnain, pencapaian pada kejohanan yang memasuki edisi ke-17 itu menjadi petanda kepada skuad negara dalam merealisasikan lapan emas pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Ogos nanti.