Malah kontinjen negara turut berjaya menambah koleksi emas sebanyak 17, perak (12) dan gangsa (6) pada keseluruhan acara yang dipertandingkan pada hari kedua temasya itu untuk menduduki tangga kedua di belakang tuan rumah, Thailand.

Atlet para olahraga negara juga turut berjaya memecahkan beberapa rekod kejohanan yang dilakukan oleh Muhd Fairus Mokhatar melalui lelaki 100 meter (kategori T35); Mohd. Raduan Emeari (lelaki 100m T36); Zikhrie Mohamed (lelaki 100m T37); Lew King Kiew (wanita lontar peluru dan lempar cakera F55); Siti Nor Iasah Mohamad Ariffin (wanita 400m F20) dan Mohd. Fazli Fauzil (lelaki lompat jauh T20).

Atlet renang tidak ketinggalan untuk merebut empat emas melalui David-Wangyu Kulek (lelaki 200m individu medley SM8); Wan Harun Wan Ahmad (lelaki 100m gaya bebas S4); Yusuf Dewa (lelaki 100m gaya bebas S6) dan Abdullah Md. Daud (lelaki 100m gaya bebas S8).

Namun, Malaysia kehilangan satu pingat emas dalam acara olahraga ekoran proses klasifikasi semula atlet pada kejohanan Sukan Para Asean ke-4 di sini semalam.

“Kita kehilangan satu pingat emas dalam acara melempar cakera yang dimenangi Faridul Masri akibat klasifikasi semula atlet. Pingat emas yang dimenangi Faridul terpaksa di tarik balik,” kata pengurus pasukan olahraga, Datuk Zulkifli Omar.

Menurut beliau, pingat emas yang dimenangi Faridul dalam acara melempar cakera F56 telah diberikan kepada atlet Vietnam, Trinh Cong Luan, yang juga pemegang rekod kejohanan kategori itu.

Trinh, pada peringkat awal sebelum temasya Sukan Para Asean ke-4 berlangsung, telah diklasifikasi sebagai peserta dalam kategori F55.

“Bagaimanapun, pegawai klasifikasi kejohanan yang menilai prestasi atlet semasa kejohanan membuat keputusan bahawa Trinh tidak layak bertanding dalam kategori F55 dan catatan yang dilakukannya dalam kategori itu telah diguna pakai untuk kategori F56.

“Catatan beliau lebih bagus daripada Faridul dan kita terpaksa akur dengan keputusan itu.

“Pingat emas kita terpaksa diberikan kepada atlet Vietnam itu. Sedih jugalah sebab kita tahu atlet kita itu berpotensi memenangi pingat emas,” kata Zulkifli.

Selepas di tolak pingat emas dalam acara melempar cakera F56, skuad olahraga Malaysia hari ini menambah 12 pingat emas, lima perak dan dua gangsa kepada koleksi kutipan pingat negara.

– Bernama