Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya tidak akan menerima sebarang keputusan sehingga skuad sepak takraw negara dapat beraksi dalam acara yang didaf­tarkan pada peringkat awal.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, pihaknya perlu bertemu beberapa badan utama termasuk Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC), Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi segera menyelesaikan kemelut itu.

“Kita tidak boleh kalah dalam peperangan ini, kita hanya akan menerima keputusan itu sekiranya kita dapat beraksi dalam acara regu dan regu berpasukan, sama seperti dengan permohonan awal yang dihantar kepada mereka.

“Kita sudah menjalani latihan untuk acara itu, jadi kita akan berjuang untuk pastikan kita dapat beraksi dalam acara itu.

“Kita masih menunggu keputusan daripada mereka untuk mengetahui sama ada kita dapat beraksi atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas majlis pe­nyampaian hadiah Liga Badminton Remaja BAM-Air Asia peringkat negeri Selangor, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, tiada sebarang keperluan untuk menghantar pegawai ke­selamatan bagi mengiringi kontinjen negara ke Sukan Asia.

“Saya percaya keadaan di sana terkawal, jadi tidak perlu ada (pegawai keselamatan),” katanya.

Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk menghantar pegawai keselamatan bagi mengiringi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan ke Sukan Asia bagi memastikan pemain dapat memberikan tumpuan kepada saingan di Jakarta.