Walaupun, mendahului dengan 247 jatuhan pin selepas blok pertama semalam, skuad remaja wanita Malaysia yang dibarisi Nur Syazwani Sahar, Nurul Ayunni Junaidi, Nurul Alyssa Junaidi dan Gillian Lim gagal menyaingi pasukan Singapura yang bangkit pada blok kedua untuk meraih emas selepas melakukan keseluruhan 4,664 jatuhan pin.

Korea Selatan yang mencatat 4,628 jatuhan pin meraih pingat perak, manakala, Malaysia sekadar memenangi gangsa dengan 4,617 jatuhan pin.

Pengurus pasukan negara, Robert Lu yang mengucapkan tahniah kepada kuartet Singapura kerana menampilkan kebangkitan cemerlang untuk meraih emas, yakin pemain negara akan menampilkan aksi lebih baik dalam acara Masters, esok.

"Esok, pastinya akan berbeza. Kami akan berbincang dengan pemain dan saya pasti mereka boleh mencapai matlamat itu dalam acara Masters," katanya.

Nasib berbeza menimpa skuad remaja lelaki Malaysia apabila sekadar menamatkan cabaran di kedudukan kelima selepas melakukan keseluruhan 4,780 jatuhan pin.

Singapura meraih pingat emas berganda selepas pasukan lelaki mereka mencatat 5,123 jatuhan pin untuk menjuarai kategori berkenaan.

Skuad Filipina menduduki tempat kedua selepas melakukan 4,996 jatuhan pin, manakala Korea Selatan memenangi pingat gangsa dengan 4,979 jatuhan pin.

Dalam acara Masters, esok, kesemua pemain remaja wanita Malaysia berjaya bersaing dalam peringkat itu selepas menamatkan cabaran dalam kelompok 16 terbaik.

Sementara itu, bagi kategori Masters lelaki, Muhammad Syazirol terlepas peluang berentap dalam saingan itu dengan hanya ketinggalan satu jatuhan pin kepada rakan senegara, Shahrukh yang menduduki tempat ke-16 dengan 3,605 jatuhan pin. - BERNAMA