Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan muktamad itu dibuat oleh penganjur Sukan SEA 2019 dan tiada lagi rayuan akan dilayan selepas ini.

Berdasarkan senarai terbaharu dikeluarkan tuan rumah, enam sukan yang menjadi lubuk emas Malaysia pada Sukan SEA 2017 telah dikurangkan acaranya manakala ada sukan di dominasi Malaysia seperti hoki padang tidak dipertandingkan.

Antara enam sukan lubuk emas Malaysia yang dikurangkan acaranya ialah berbasikal, terjun, gimnastik, pencak silat, boling padang serta boling.

“Keputusan ini telah diputuskan tuan rumah Manila malah kita juga meminta agar mereka menghantar wakil-wakil persatuan sukan untuk memberi penjelasan kepada persatuan sukan kebangsaan di negara ini bagi melihat ­perincian.

“Dalam masa sama kita juga telah menetapkan kelayakan yang lebih ketat buat atlet untuk beraksi dalam temasya di Manila berdasarkan keputusan ditetapkan oleh panel bebas berhubung pemilihan dan kriteria untuk menyertai temasya.

“Kali ini setiap atlet yang ingin layak perlu berada dalam kedudukan tiga terbaik semasa menyertai kejohanan peringkat Asia Tenggara bagi ­menyertai Sukan SEA dalam tempoh 12 bulan.

“Kami juga akan mempertimbangkan jika mereka ber­ada dalam kelompok empat terbaik (pada Sukan SEA 2017) untuk layak secara merit bagi Kategori A,” kata Mohamad Norza dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Pada 27 Disember lalu, Ke­tua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), berpendapat anggaran 63 hingga 79 pingat emas sahaja menjadi buruan dalam edisi ke-30 di Manila.

Jumlah itu kurang separuh daripada 144 pingat emas yang diraih Malaysia dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.