Pencapaian skuad badminton berpasukan lelaki negara itu boleh dianggap membanggakan kerana sasaran mereka di Jakarta sekadar melangkah ke separuh akhir.

Sementara itu, pe­ngurus pasukan olahraga negara Mohd. Zarrawi Ravi berkata, empat pingat emas mampu berada dalam genggaman mereka menerusi pemenang emas Para­limpik 2016 iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F2), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Mohamad Ridzuan Muhamad Puzi (100 meter T36) serta pemenang gangsa Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh T20).

“Untuk hari pertama olahraga esok hanya acara disertai Siti Noor Radiah akan berlangsung saingan akhir manakala acara lain masih di peringkat awal dan kita yakin emas berjaya diraih menerusi atlet negara itu.

“Dalam masa sama kita juga tidak memandang mudah penyer­taan atlet muda negara dalam Sukan Asia Para 2018 ini.

“Harapan saya empat atlet Paralimpik yang menjadi sandaran utama kita akan terus menyumbang pingat di samping sembilan atlet baharu akan mempamerkan prestasi luar biasa supaya mereka juga mencipta nama di peringkat Asia,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam kempen Sukan Para Asia 2014 di Incheon, kontinjen Malaysia membawa pulang 15 pingat emas, 20 pingat perak dan 27 pingat gangsa.