Pemain adik-beradik, Aira dan Aifa Azman mengetuai kemenangan bersejarah Malaysia di Birmingham bersama pemain No. 2 negara, S. Sivasangari dan K. Sehveetrraa.

Sehveetrraa, 12, menghadiahkan gelaran pertama apabila menumpaskan Fayrouz Abouelkheir dari Mesir 11-7, 11-9, 11-9 dalam final bawah 13 tahun perempuan, sebelum Aira merangkul gelaran kedua buat Malaysia dalam perlawanan yang mencetuskan sedikit kontroversi.

Bagi kategori bawah 15 perempuan, Aira meraih kejuaraan selepas pegawai perlawanan membatalkan aksi pemain Mesir, Sana Ibrahim di set kelima kerana didapati ‘sakit di dalam gelanggang’.

Aira, 13, sedang mendahului 4-2 di set kelima ketika Sana muntah di dalam gelanggang dan memaksa pegawai perlawanan membatalkan aksinya selepas memberi amaran kepada pemain itu kerana ‘melengah-lengahkan’ permainan. Empat set terdahulu berkesudahan 11-8, 11-5, 10-11, 6-11.

Kakak Aira, Aifa, 16, kemudian menghadiahkan kemenangan paling tidak diduga apabila mengalahkan pilihan pertama dari Amerika Syarikat, Marina Stefanoni 11-7, 11-5, 11-9 untuk dinobatkan juara bawah 17.

Sivasangari melengkapkan hari gemilang Malaysia dengan menundukkan Satomi Watanabe dari Jepun 12-10, 11-7, 11-9 untuk gelaran bawah 19 tahun perempuan iaitu gelaran keduanya selepas muncul juara bawah 15 pada 2014.

“Saya pada mulanya tertanya-tanya juga mengapa pengadil tidak nampak muntah di atas gelanggang. Saya bagaimanapun kasihan dengan lawan saya kerana kemenangan diberikan kepada saya.

“Ini bukan cara yang saya mahukan untuk meraih kemenangan tetapi saya menerimanya kerana saya fikir saya memang berhak...Saya bermain agak baik hari ini,” kata Aira kepada pemberita.

Sivasangari, 18, yang menghuni ranking ke-45 dunia nyata terlalu kuat buat Watanabe apabila memenangi perlawanannya hanya dalam masa 33 minit.

“Gembira berjaya melakukannya! Pertarungan dengan Satomi memang sentiasa sengit dan saya gembira berjaya menang 3-0 kali ini,” katanya yang muncul pemain Malaysia ketiga berjaya memenangi kategori bawah 19 tahun selepas Low Wee Wern pada 2009 dan Datuk Nicol David (2000).