Dikenali sebagai temasya pertama yang mempertandingkan sukan berpasukan seperti kriket, hoki, bola jaring dan ragbi 7-se­belah, edisi ke-16 ini turut mempertandingkan buat kali pertama tenpin boling dan skuasy.

Ini menjadikan 15 jenis sukan kesemuanya dipertandingkan pada 1998 termasuk sukan tetap seperti olahraga, badminton, tinju, berbasikal, gimnastik, boling padang, menembak, renang/terjun dan angkat berat (kecuali gusti digugurkan).

Berlangsung dari 11 hingga 21 September, Kuala Lumpur yang mengalahkan Adelaide, Australia ketika proses bidaan menjadi Sukan Komanwel terakhir dilangsungkan pada abad ke-20 sekali gus muncul negara kelapan pernah menganjurkannya selepas Kanada, England, Australia, New Zealand, Wales, Jamaica dan Scotland.

Malaysia ternyata memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan sejak 1950 apabila buat kali pertama menduduki tempat keempat ke­seluruhan dalam se­narai kedudukan pingat di belakang Australia yang muncul juara keseluruhan, diikuti Kanada dan England.

Bukan Malaysia sahaja mempamerkan peningkatan, negara-negara yang bertanding juga me­nunjukkan peningkatan ke­tara dari segi kualiti pencapaian apabila beberapa rekod temasya berjaya dipecahkan.

Dengan 70 negara mengambil bahagian membabitkan 3,638 atlet, temasya 1998 dianggap berjaya kerana tiada langsung membabitkan sebarang kontroversi malah berakhir dengan meletakkan satu penanda aras baharu dari segi pencapaian dan kualiti.

Selaku tuan rumah, Malaysia berjaya meraih 10 emas - jumlah tertinggi pernah dimenangi de­ngan tiga disumbangkan badminton, dua tenpin boling dan masing-masing satu menerusi olahraga, angkat berat, gimrama, menembak dan tinju.

Badminton penyumbang tetap pingat emas, Wong Choong Hann menjuarai acara perseorangan lelaki, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah (beregu lelaki) dan acara berpasukan lelaki.

Tenpin boling pula menyaksikan Kenny Ang menyumbang dua emas menerusi acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki berpasangan dengan Beng Heng. Olahraga S. Govindasamy (50km jalan kaki lelaki), angkat berat Muhamad Hidayat Hamidon (kategori 69kg), menembak Nurul Huda Baharin (air rifel individu wanita), tinju Sapok Biki (ka­tegori light-flyweight 48kg) serta gimrama berpasukan Carolyn Au Yong, El Regina Tajudin, Sarina Sundara Rajah, Thye Chee Kiat (all-around).