YAP KHIM WEN antara salah seorang atlet yang menamatkan penantian enam tahun taekwondo selepas meraih emas acara poomsae individu wanita.

Pengurus pasukan, A. Jayarajan berkata, dengan berbaki lagi 11 acara, pasukan taekwondo negara juga dilihat mampu mencapai sasaran empat emas dalam temasya dwi tahunan kali ini.

“Hari ini permulaan yang baik dan kita harap untuk hari seterusnya, semua atlet yang akan bersaing di arena taekwondo dapat mengekalkan prestasi sebegini untuk memburu lebih banyak pingat,” katanya sejurus tamat perlawanan di sini hari ini.

Untuk rekod, pada Sukan SEA 2015 di Singapura skuad taekwondo negara terpaksa pulang hampa tanpa kilauan emas.

Hari ini, Malaysia berjaya mengaut dua emas dan dua perak.

Emas pertama dihadiahkan oleh Yap Khim Wen menerusi acara poomsae individu wanita, manakala emas kedua menerusi Chew Wei Yan juga acara poomsae individu lelaki.

Dua perak pula disumbangkan oleh pasangan Yap Khim Wen dan Yong Jin Khun menerusi acara poomsae berpasukan (campuran) dan Chew Wei Yan, Kok Jun Ee dan Yong Jin Kun dalam acara poomsae berpasukan lelaki.

Sementara itu, Khim Wen berkata, dia tidak menyangka akan memenangi emas kerana dua tahun lalu hanya meraih perak di Singapura.

“Kejayaan ini sangat berbaloi dengan segala usaha dan kerja keras selama dua tahun dan diharapkan dapat menjadi motivasi buat rakan sepasukan lain untuk memperoleh kemenangan dalam acara seterusnya,” katanya.