Angka pingat emas itu meletakkan Malaysia di tempat ke-14. China kekal sebagai kuasa utama Asia setelah memenangi 132 emas manakala tuan rumah Indonesia boleh berbangga dengan pencapaian di tempat keempat menerusi 31 emas, kebanyakannya daripada silat yang mereka dominasi.

Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah, menyempurnakan majlis penutupan temasya itu di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK).

Kemuncak majlis penutupan itu apabila bendera OCA yang telah berkibar 16 hari di SUGBK diturunkan sebelum diserahkan kepada tuan rumah Sukan Asia 2022, Hangzhou, Zhejiang, China yang turut menyaksikan obor temasya dipadamkan perlahan-lahan.

Tujuh pingat emas, 13 pingat perak dan 16 pingat gangsa yang diraih kontinjen negara akan menjadi buah tangan paling bermakna kerana selain berjaya mencapai sasaran ditetapkan, mereka juga memperbaiki pencapaian empat tahun lalu.

Selain mencapai sasaran ditetapkan, kontinjen negara juga berjaya mencipta enam rekod kebangsaan dalam Sukan Asia 2018 iaitu satu dalam sukan berbasikal trek, tiga dalam acara renang dan dua di lapangan memanah.

Bukan itu sahaja dua atlet negara juga berjaya menempah slot automatik ke Sukan Olimpik 2020 menerusi sukan pelayaran iaitu Khairulnizam Mohd. Affendy bagi acara Laser Standart dan Nur Shazrin Mohd. Latif (Laser Radial).

Dalam kempen edisi ke-18 ini, tujuh pingat emas Malaysia hadir daripada sukan boling yang menyumbang dua pingat emas dan skuasy juga dua emas manakala sepak takraw, berbasikal trek dan pelayaran masing-masing menghadiahkan satu pingat emas.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa sukan yang diletakkan sebagai sandaran utama pingat emas dalam kempen Sukan Asia 2018 gagal memenuhi jangkaan.

Pencak silat dan karate adalah dua sukan yang sebelum ini diyakini mampu menyumbang pingat emas namun menamatkan kempen dengan kekecewaan.

Lebih memilukan Sukan Asia 2018 yang disertai oleh atlet-atlet elit Program Podium menyaksikan hampir kebanyakan mereka tidak berupaya mencapai kecemerlangan malah ada yang gagal memperbaiki catatan peribadi terbaik terutama dalam olahraga.

Ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi berkata, walaupun secara keseluruhannya kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran namun terdapat beberapa sukan harus diberikan perhatian.

“Satu post morterm akan diadakan dengan semua persatuan sukan kebangsaan yang terlibat dalam Sukan Asia 2018.

“Sukan menembak, memanah, olahraga dan renang dalam Program Podium mungkin perlu dikaji semula,” kata Abdul Azim.

Majlis penutupan Sukan Asia 2018 turut diserikan dengan persembahan artis terkemuka terutama daripada Super Junior, iKON dan penyanyi tempatan Winky Wiryawan, Irfan Samsons dan Afgan. – UTUSAN