Pemain kelahiran Sabah berusia 17 tahun itu mengambil masa sejam 50 minit untuk mengetepikan Shunsuke Mitsui, 15, dari Jepun dengan 6-2 6-4.

Kemenangan itu membolehkan Christian yang sebelum ini mengungguli kejohanan sama bagi Gred 5 di Kuala Lumpur pada Mac lalu melompat dari tangga 231 ke 170 dalam kedudukan ranking dunia.

Pemain itu juga menjuarai kategori beregu lelaki hasil gandingannya dengan pemain dari India, Karan Srivastava menewaskan pasangan Taipei, Yu Feng Chen/Han Chih Li 6-2, 6-3 dalam pertarungan akhir yang berlangsung semalam.

Dalam pada itu, pemain dari Indonesia, Priska Madelyn Nugroho mencipta kejutan apabila menjuarai kategori perseorangan wanita setelah menewaskan pemain dari India, Shivani Amineni 2-6, 6-4, 6-2.

Bagi kategori beregu wanita pula, juara menjadi milik gandingan Shivani / Mai Napatt Nirundorn dari Thailand yang menewaskan Priska / Charmaine Shi Yi Seah dari Singapura 6-2, 4-6, 10-5.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri merangkap Presiden Persatuan Tenis Terengganu (PTT), Datuk Mohd. Jidin Shafee sejurus selesai perlawanan akhir itu hari ini.