Kemenangan itu merupakan yang ketiga untuk Shalin selepas kali pertama melakukannya di Kuala Lumpur pada 2003 dan Monterrey, Mexico empat tahun kemudian.

“Semua kemenangan memberi makna dan cukup berharga. Alhamdullilah sekali lagi dapat memenangi kejuaraan dunia berpasukan selepas tempoh 10 tahun. Kami bermain dengan penuh semangat berpasukan dan memberi fokus sepenuhnya sepanjang perlawanan.

“Kami layak memenangi kejuaraan ini setelah berusaha keras dan melakukan persediaan rapi. Boleh dikatakan tahun 2017 cukup cemerlang untuk pasukan boling negara apabila turut menang dalam Sukan SEA. Esok saya akan meneruskan cabaran dalam acara master sebelum pulang ke Malaysia pada Khamis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Setelah 10 tahun berlalu, Malaysia kembali merampas gelaran pasukan boling wanita terbaik dunia apabila berjaya mengetepikan negara jiran Singapura menerusi jatuhan pin 214-209 dan 188-177 dalam perlawanan akhir di South Point Bowling Center.

Selain Shalin, skuad negara dianggotai Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Easter Cheah dan Natasha Roslan.

Sementara itu, Syaidatul Afifah mengakui teruja berjaya memenangi gelaran dunia buat kali pertama dalam kariernya sebagai pemain boling.

“Sangat gembira dan kerja keras kami selama ini sangat berbaloi. Pihak lawan memberi cabaran sengit tetapi kami semua dapat mempamerkan persembahan konsisten untuk menewaskan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Easter Cheah percaya dengan kejayaan meraih pingat emas kejuaraan dunia maka akan menyuntik semangat kepada skuad negara untuk memenangi pingat emas dalam Sukan Asia nanti.

“Sangat bersyukur selepas 10 tahun pasukan wanita kembali membawa pulang pingat emas. Saya rasa kami telah membuktikan kepada dunia sekali lagi bahawa Malaysia merupakan pasukan terbaik dan saya harap kami dapat membawa pulang pingat emas Sukan Asia tahun depan,” ujarnya.