Skuad boling padang negara berjaya mengumpul lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Terdahulu pada Jumaat lepas, mereka memenangi tiga pingat emas dan menambah dua lagi pingat emas semalam melalui acara perseorangan lelaki dan beregu wanita.

Dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki, Mohamed Soufi Rusli mengalahkan Cheung Chi Hing dari Hong Kong dengan 21-11.

Siti Zalina Ahmad pula berjaya meraih pingat emas kedua peribadinya pada kejohanan itu selepas bergandingan dengan Auni Fathiah Kamis untuk mengatasi saingan Singapura, Tammy Tham dan Shermeen Lim dengan 18-3.

Pada Jumaat lepas, Siti Zalina memenangi acara perseorangan wanita iaitu kejuaraan ke-10 beliau pada kejohanan itu.

Dalam pada itu, gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Zuraini Khalid dan Azlina Arshad dalam acara triples wanita terlepas pingat emas selepas tewas 11-20 kepada pasukan tuan rumah India dalam saingan akhir, manakala pasukan fours lelaki sekadar meraih pingat gangsa. – BERNAMA