Pengurus pasukan, Shanker Retinam berkata, kelebihan tersebut telah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membuat analisis mengenai kekuatan Thailand.

“Selepas menonton perlawanan Thailand dengan Myanmar, saya telah duduk bersama pasukan untuk membuat serba sedikit analisis dan menyusun strategi terbaik.

“Dalam masa sama, saya juga sangat gembira kerana pemain beraksi dengan cukup cemerlang bagi mengekang kemaraan lawan,” katanya.

Skuad kebangsaan berjaya menyempurnakan 265-5 dalam peruntukan 50 over.

Thailand yang memukul selepas sajian tengah hari cuma melakukan 105.

Pemukul Malaysia, Virandeep Singh mengumpulkan 79 larian diikuti bekas kapten, Ahmad Faiz Noor dengan 46.

Anwar Arudin selaku ketua pasukan baharu lebih selesa bersikap merendah diri apabila turut memuji pasukan Thailand yang semakin meningkat prestasi.

“Malaysia lebih berpengalaman berbanding Thailand tetapi saya yakin mereka mampu menjadi pencabar baik kepada pasukan negara dalam tempoh beberapa tahun lagi,” katanya.