Bagi sepak takraw (regu berpasukan, antara regu, beregu berpasukan, beregu dan kuadran), skuad bimbingan Abd. Talib Ahmad boleh menamakan seba­nyak 21 pemain manakala hanya 18 pemain dibenarkan untuk negara lain termasuk musuh tradisi, Thailand.

Dalam chinlone yang mempunyai empat acara (tiada ulangan utama, gaya sama, berkaitan dan tiada ulangan kedua), skuad negara yang dibimbing Yusof Abdullah boleh menyenaraikan sebanyak 16 pemain berbanding 12 bagi negara lain.

Presiden Astaf, Abdul Halim Kader memberitahu Utusan Malaysia di sini hari ini, pemberian hak istimewa tuan rumah itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di Bangkok pada 12 Jun lalu.

Dengan kelebihan pemain itu juga, Malaysia akan menyertai kesemua acara sepak takraw dan chinlone yang dipertandingkan namun negara lain hanya dibenarkan bermain hanya tiga daripada lima acara sepak takraw (lelaki) dan dua daripada empat acara chinlone.

Malaysia akan mempertahankan pingat emas antara regu manakala Thailand ialah pe­nyandang acara berpasukan dan beregu berpasukan sementara gelaran beregu milik Myanmar dalam Sukan SEA Singapura 2015.

Malaysia turut meraih satu perak (tiada ulangan utama) dan satu gangsa (berkaitan) dalam acara chinlone ketika itu.

Bagi kategori wanita, skuad negara dijangka menamakan antara lapan hingga 10 pemain bagi ketiga-tiga acara yang dipertandingkan iaitu antara regu, beregu dan kuadran.

Skuad bimbingan Md. Fikri Md. Nor ini beroleh sebutir gangsa antara regu Sukan SEA Singapura lalu.

Acara 3 (berkaitan) chinlone dijangka berpeluang menghasilkan emas sulung Malaysia dalam temasya kali ini yang berlangsung 16 Jun, tiga hari sebelum upacara pembukaan rasmi.

Sepak takraw dan chinlone akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.