Itu penegasan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong kepada penganjur Kejohanan Renang Para Dunia 2019, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) andai terus diberi tekanan oleh Israel untuk membenarkan atlet mereka menyertai pertandingan di Kuching, Sarawak, Julai ini.

Kata Steven, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berada di belakang MPM kerana dasar negara yang jelas iaitu Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

STEVEN SIM CHEE KEONG
STEVEN SIM CHEE KEONG 

“Majlis Paralimpik Malaysia tidak perlu khuatir.

“Jika ada apa-apa kecaman dari luar mereka boleh berjumpa dengan KBS.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Malaysia mempunyai dasar luar yang jelas tentang Israel, oleh itu kerajaan akan konsisten serta tegas dalam isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa ­Olimpik Israel, Nisim Sasportas memberitahu portal berita Ynet news.com beliau akan memberikan tekanan berterusan kepada tuan rumah bagi membolehkan atlet negara itu beraksi dalam kejohanan di Kuching.

Sasportas turut menegaskan, mereka mempunyai surat soko­ngan daripada Jawatankuasa Pa­ralimpik Antarabangsa, Jawatankuasa Paralimpik Eropah dan Jawatankuasa Olimpik Atlet bagi membenarkan atlet Israel serta pegawai keselamatan mereka mengiringi penyertaan kontinjen dalam Kejohanan Renang Para Du­nia 2019.

Kejohanan Renang Para Du­nia yang berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos itu penting kerana menjadi medan kelayakan buat atlet renang para memburu slot Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan berasingan hari ini turut menegaskan tentang pendirian kerajaan tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan negara tersebut sebagai membantah penindasan yang dilakukan mereka terhadap rakyat Palestin.