Ia berlangsung dari 4-11 Februari 1950 dengan venue utamanya adalah Eden Park yang melangsungkan acara pembukaan manakala acara penutup diadakan di tempat lain iaitu Stadium Western Spring.

Sebenarnya giliran menganjurkan edisi keempat ini telah diberikan kepada Montreal, Kanada pada 1942 tetapi terpaksa dibatalkan kerana Perang Dunia Kedua (WWII). Ini termasuk temasya 1946 di Cardiff, Wales.

Lantaran terlalu lama menunggu, Montreal menarik diri dan Auckland menyatakan kesanggupan untuk menggantikannya dalam meneruskan asas kukuh penganjuran yang telah terbina sejak 1930 itu.

Sebanyak 12 negara mengambil bahagian - jumlah yang lebih rendah berbanding temasya 1934 dan 1938 dengan Malaysia (menggunakan nama Malaya ketika itu) dan Nigeria membuat penampilan pertama di temasya kedua terpenting di dunia itu.

Namun yang peliknya, bilangan atlet yang menyertainya lebih ramai iaitu 590 orang. Mungkin ia disebabkan penambahan jumlah sukan yang dipertandingkan membabitkan sembilan jenis.

Sukan terbaharu yang dima­sukkan adalah lawan pedang dan angkat berat selain sukan yang tetap seperti olahraga, tinju, berbasikal, boling padang, mendayung, renang/terjun dan gusti.

Akhirnya Australia muncul juara keseluruhan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 1938. Pencapaian tersebut menyaksikan Negara Kangaroo itu menyamai pencapaian England yang juga pernah dua kali muncul juara keseluruhan sebelum itu.