Pada awal bulan ini Nixson mencatat masa 10.27s dalam kejohanan olahraga Terbuka Pahang manakala Azam melakar masa lebih pantas iaitu 10.22s ketika bertanding di Bloemfontein, Afrika Selatan, Mac lalu.

Pengurus Sukan Olahraga Maj­lis Sukan Negara (MSN), Nor Azman Mohd. Kassim berkata, catatan dua atlet itu tidak boleh diiktiraf atas sebab teknikal.

“Masa 10.27s dilakukan Nixson di Pahang tidak menggunakan sepenuhnya catatan elektronik, malah saya juga ber­ada di sana sewaktu pertan­dingan itu berlangsung di Stadium Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Catatan Azam juga menjadi persoalan IAAF (Persekutuan Olahraga Antarabangsa) kerana mereka tidak mendapat laporan lengkap daripada kejohanan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, di sini, hari ini.

Ketika ini status pelari terpantas masih milik Khairul Hafiz Jantan yang mencatat 10.18s dalam 100m di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun lalu.

Catatan itu memecah rekod kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek iaitu 10.30s.

Dalam perkemba­ngan lain, Nor Azman berkata, Ke­satuan Olahraga Malaysia bakal menghantar tujuh atlet pecut ke Terbuka Thailand, bulan depan.

“Selain ber­aksi dalam sai­ngan 100m individu, kami juga akan me­nguji keupayaan mereka dalam acara kuartet.

“Ini kerana kami mahu mencuba ­prestasi kuartet terutama dalam 4x100m,” katanya lagi.

Tujuh atlet pecut berkenaan ialah Khairul Hafiz, Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa, Nixson, Muhammad Haiqal Hanafi, Mohd. Izzuddin Yahaya dan Muhammad Aqil Yasmin.