Jelajah Dunia Akhir ATP untuk pemain bawah 21 tahun itu yang bermula di Milan hari ini menampilkan bintang-bintang muda yang bakal menjadi pesaing kepada Rafael Nadal, Andy Murray, Novak Djokovic dan Roger Federer.

Bagaimanapun, majlis undian yang disempurnakan semalam memerlukan pemain memilih huruf ‘A’ atau ‘B’ yang disembunyikan di tubuh model wanita bagi menentukan kumpulan mereka.

Pemain Korea Selatan, Hyeon Chung dengan jelas kelihatan amat malu apabila diminta menarik sarung tangan seorang model wanita dengan menggunakan gigi dalam majlis yang turut memberi penghormatan kepada bandar Milan yang terkenal dengan industri fesyen.

Presiden Eksekutif Persatuan Tenis Profesional (ATP), Chris Kermode memohon maaf dan menyifatkan majlis undian tersebut tidak wajar dilangsungkan sedemikian rupa dan berjanji perkara seumpama itu tidak akan berulang.

“Memang tidak adil dan tidak boleh diterima akal apabila kita melibatkan pemain-pemain dengan perbuatan seperti itu. Ia bukan kemahuan mereka dan hal ini tiada kaitan dengan mana-mana pemain,” kata Kermode ketika ditanya tentang penglibatan kelapan-lapan pemain berkenaan.

Sementara itu, di media sosial, bekas pemain wanita No. 1 dunia, Amelie Mauresmo menerusi akaun Twitternya menulis: “Memalukan”, manakala pemain Perancis, Alize Cornet pula berkata: “Kerja yang baik @ATPWorldTour boleh dijadikan contoh pada masa depan?.”

Judy Murray, ibu kepada bekas pemain No. 1 dunia, Andy Murray pula menulis #backtozero, “Sangat teruk”.

Pertandingan itu dianjurkan tanpa pembabitan nama-nama besar dalam sukan tenis, dengan pemain tertinggi dalam ranking di Milan ialah wakil Rusia, Andrey Rublev yang menghuni kedudukan No. 37 dunia dan merupakan pemenang pada pertandingan di atas gelanggang tanah liat di Umag, tahun ini. - AFP