Mahrez menewaskan juara tahun lalu iaitu Pierre-Emerick Aubameyang selepas kapten Gabon itu sekadar menduduki tempat kedua, manakala bintang Senegal, Sadio Mane yang mewakili Liverpool di tempat ketiga.

Penyerang kelahiran Perancis itu berkata, satu penghargaan terbesar buat dirinya selepas dicalonkan pemain terbaik Afrika buat beberapa tahun kebelakangan ini.

“Penghargaan yang cukup besar, saya berasa gembira. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan di Leicester dan Algeria. Saya dedikasikan anugerah ini kepada keluarga dan semua individu yang memberi sokongan kepada saya setiap hari,” kata Mahrez selepas menerima anugerah tersebut.

Mahrez menjadi watak penting terhadap kejayaan skuad The Foxes selepas dia menjaringkan 17 gol dan mencipta 10 gerakan jari­ngan dalam 37 penampilan. Dia juga merupakan pemain Algeria pertama memenangi trofi EPL.

Ketiga-tiga pemain yang disenarai pendek bagi anugerah Pemain Terbaik Afrika turut diambil dalam CAF XI yang juga menampilkan pertahanan Ivory Coast, Eric Bailly dari Manchester United.

Penjaga gol, Denis Onyango dipilih sebagai Pemain Terbaik berpangkalan di Afrika setelah menewaskan rakan sepasukannya dari Mamelodi Sundowns, Khama Billiant dan pemain Zambia, Rainford Kalaba. – AFP