Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

‘Mahal tak dapat dibeli, murah tak dapat diminta’

ISHTIAQ MUBARAK pada zaman kegemilangan sebagai atlet negara 2
ISHTIAQ MUBARAK pada zaman kegemilangan sebagai atlet negara

MUNGKIN generasi sekarang lebih mengenali Rayzam Shah Wan Sofian atau Nur Herman Majid. Begitu pun nama (Allahyarham) Ishtiaq Mubarak bukan sesuatu yang asing bagi peminat olahraga tanah air.

Menyelak kembali lipatan sejarah, Allahyarham boleh diibaratkan sebagai ‘mahal tak dapat dibeli, murah tak dapat diminta’, iaitu bintang yang sukar diperoleh susulan kejayaan gemilang dalam 110 meter lari berpagar sekitar 1970-an.

Beliau berjaya melangkah ke Sukan Olimpik tiga kali iaitu pada 1968 di Mexico, 1972 Munich dan paling indah adalah di Montreal 1976.

Ini kerana pada temasya edisi ke-19 itu, Allahyarham berjaya melangkah ke separuh akhir, sekali gus menjadikannya atlet olahraga kedua Malaysia selepas Tan Sri Dr. M. Jegathesan melakukannya pada Olimpik 1964 di Tokyo.

Sehingga kini belum ada atlet olahraga negara berupaya me­nyaingi pencapaian Ishtiaq dalam 110m lari berpagar.

Bagaimanapun, sebelum melakar kejayaan itu, Ishtiaq meniti episod hitam yang hampir meragut karier­nya.

Enam tahun sebelum ke O­limpik Montreal, dia terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur, yang menyaksikan penunggang­nya terbunuh, manakala Allahyarham sebagai pembonceng cedera parah.

“Saya masih ingat arwah pernah mengalami kemalangan motosikal sekitar tahun 70-an sehingga terpaksa dirawat selama beberapa bulan di hospital.

“Walaupun belum pulih sepenuhnya, dia sudah mula menjalani latihan bersungguh-sungguh. Arwah juga seorang yang berdedikasi dalam sukan,” kata Jegathesan, yang ber­aksi bersama Ishtiaq pada O­limpik 1968.

Doktor yang merawat Ishtiaq memberitahunya dia perlu melupakan karier sebagai atlet ekoran kecederaan serius pada tulang pinggul dan rahang muka akibat kemalangan itu.

Keadaan tersebut membuatkan Allahyarham nyaris meng­angkat bendera putih, namun darah ‘pejuang’ yang mengalir dalam tubuhnya menjadikan dia berani berdepan cabaran.

Selain pencapaian di Olimpik, Ishtiaq juga pernah mengaut emas Sukan SEA (dulu Sukan SEAP) pada 1969, 1971 (rekod baharu temasya 14.4 saat), 1973 dan 1977.

Menariknya, Ishtiaq tidak memulakan karier dari Sukan SEA seperti atlet lain, sebaliknya bermula dengan Sukan Asia 1966 di Bangkok, yang mana dia meraih gangsa. Lapan tahun kemudian Allahyarham merangkul perak Sukan Asia di Iran.

Selain itu, rekod kebangsaan 14.08s yang diciptanya juga kekal selama 15 tahun sebelum dipe­cahkan oleh Nur Herman.

Sumbangan Ishtiaq semasa hayatnya bukan sekadar meraih pingat Sukan Asia, Kejohanan Asia dan Sukan SEA, malah beliau turut me­nyumbang keringat sebagai jurulatih kebangsaan sehingga 2012.

Bagaimanapun, tanggal 9 Ogos 2013, negara digemparkan de­ngan pemergian legenda sukan olahraga tanah air itu.

Ishtiaq meninggal dunia pada usia 65 tahun di rumahnya di Hulu Kelang pada pukul 9.55 pagi selepas terjatuh di bilik air dan mengalami kecede­raan kepala.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain