Dalam temubual bersama Utusan Malaysia, di sini hari ini, bekas pelumba Orelac Racing Verdnatura itu berkata, dia kini secara perlahan-lahan sedang melakukan perubahan dalam kariernya selepas tidak lagi bersaing dalam WSBK dengan menguruskan pasu­kan sendiri.

Bagaimanapun, katanya, dia masih lagi akan meneruskan minatnya untuk terus berlumba di atas trek dengan menyertai perlumbaan Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) yang akan membuka tirai pertandingan musim 2018 pada Mac depan.

“Saya akan berlumba di bawah pasukan sendiri dengan kepakaran teknikal dalam kalangan kenalan saya juga. Bermula de­ngan ARRC, saya akan cuba belajar me­nguruskan pasukan sendiri de­ngan menjadikan bekas pasukan yang pernah saya bernaung iaitu Aki Ajo sewaktu dalam saingan Moto3 dulu sebagai model pe­ranan.

“Saya cukup kagum dengan Aki Ajo yang cukup sistematik dan profesional cara mereka bekerja. Sewaktu bernaung di bawah pasukan itu, saya dalam diam memerhatikan cara mereka mengendalikan pasukan dan mengimpikan untuk menjadi sehebat mereka,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusannya beraksi dalam perlumbaan yang lebih rendah stan­dardnya berbanding kejohanan dunia, pelumba kelahiran Ban­ting, Selangor itu menegaskan ARRC memiliki kelebihan yang tersendiri dengan tidak memberikan tumpuan kepada satu atau dua pengeluar motosikal.

“Cuma yang berbeza adalah antara Asia dan dunia, itu sahaja. Bagi saya ARRC mampu menawarkan persaingan yang lebih baik berbanding Kejohanan Motosikal Sepanyol yang hanya menumpukan satu atau dua pengeluar motosikal,” ujarnya.

Dalam masa sama, Zulfahmi memberitahu, dia juga terikat kepada tanggungjawab dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menjayakan program pencarian bakat yang akan diadakan pada Januari ini.

Menurutnya, selaku pengurus projek, dia diberi peranan untuk mencari bakat-bakat baharu dalam sukan pemotoran yang mana lima pelumba terbaik akan diserapkan ke dalam program pembangunan SIC.

“Daripada lima pelumba itu nanti, dua daripada mereka akan dihantar bersaing dalam Kejohanan Motosikal Sepanyol yang bermula bulan Mac. Dalam masa sama, dua pelumba itu juga terbabit dalam perlumbaan ARRC apabila mereka bernaung di bawah pasukan saya.

“Jadi, kami ada tiga pelumba termasuk saya yang akan beraksi dalam saingan 600cc, manakala dua lagi penunggang bakal berlumba untuk kategori berbeza,” tambahnya.

Mengulas mengenai pertembungan jadual antara ARRC dan Kejohanan Motosikal Sepanyol, Zulfahmi, 26, menjelaskan hanya ada satu perlumbaan yang jatuh pada tarikh sama dan pada ketika itu nanti, dua pelumba berkenaan akan diganti dengan penunggang simpanan untuk beraksi dalam ARRC.