Selepas dua tahun menghilang daripada kancah saingan, bekas pelumba Moto3 negara itu diumumkan sebagai pengganti Hafizh Syahrin Abdullah yang kini dikaitkan dengan pasukan yang bersaing dalam MotoGP, Monster Yamaha Tech 3.

Hafizh dikhabarkan telah dirisik oleh Monster Yamaha Tech 3 bagi menggantikan Jonas Folger yang mengambil keputusan berehat untuk musim 2018 setelah mengalami masalah kesihatan.

Ekoran itu, Hafizh telah meninggalkan SIC Racing Team yang baru disertai beberapa bulan lalu, sekali gus menyaksikan pasukan Moto2 yang dikendalikan oleh Johan Stigefelt ketiadaan pelumba sehinggalah nama Zulfahmi diumumkan sebagai pengganti.

“Ia sesuatu yang menakjubkan apabila menerima peluang sebegini. Saya berterima kasih kepada SIC, terutama (Ketua Pegawai Eksekutif SIC) Datuk Razlan (Razali) kerana sokongan berterusan dan kepercayaan kepada saya.

“Saya benar-benar teruja dapat kembali ke paddock MotoGP. Di Valencia, saya akan memberi tumpuan untuk segera menyesuaikan diri dengan jentera Moto2. Saya tidak fikir jurangnya terlalu besar antara Supersport dan Moto2 tetapi apa yang pasti saingan akan lebih sengit,” katanya yang sebelum ini bersaing dalam Kejuaraan Supersport selama dua musim.

Sementara itu, Razlan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pemilihan Zulfahmi adalah satu keputusan tepat memandangkan pelumba itu calon paling layak bagi mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan Hafizh.

“Kita memang ada beberapa calon pelumba untuk menggantikan Hafizh tetapi selepas difikirkan semasak-masaknya, saya rasa lebih elok SIC Racing Team membawa pulang Zulfahmi setelah mengambil kira pengalaman yang ada pada anak muda itu.

“Nasib Zulfahmi ini seperti kucing yang memiliki sembilan nyawa. Kita beri peluang kepada dia untuk kembali beraksi dalam kejuaraan dunia, walaupun dalam kelas berbeza,” katanya.

Zulfahmi yang menamatkan aksinya dalam kejohanan Supersport dunia, pada November lalu, sebenarnya dalam perancangan untuk menyertai Kejuaraan Lumba Motosikal Asia (ARRC) tetapi disebabkan tawaran tersebut, anak kelahiran Banting, Selangor tersebut membuat keputusan kembali ke pangkuan pasukan lamanya itu.

Dia sudahpun berlepas ke Sepanyol dua hari lalu untuk menjalani sesi pramusim bersama SIC Racing Team di Valencia. - UTUSAN ONLINE