Pelumba Orelac Racing VerdNatura itu yang kerap berdepan dengan masalah teknikal pada motosikalnya, musim ini, sekadar menamatkan aksinya di kedudukan ke-20 setelah mencatat masa 19 minit 80.117 saat (s) dalam Kejuaraan Dunia Supersport pusingan United Kingdom di Donington Park Circuit, semalam.

Anak kelahiran Banting, Selangor itu dalam kenyataannya, hari ini berkata, dia yakin mampu mencatat keputusan yang lebih bagus, jika tumpuan lebih diberikan sejak dari awal saingan lagi iaitu pada sesi latihan bebas pertama sehinggalah ke perlumbaan sebenar.

“Saya sedar bahawa saya perlu memberikan 110 peratus dalam sesi latihan bebas dan kelayakan, jadi saya boleh menempah petak di kedudukan yang lebih baik untuk perlumbaan sebenar.

“Saya mendapati jentera kami mempamerkan prestasi yang berbeza, tidak kira tayar yang digunakan merupakan tayar lama ataupun baharu dan saya perlu menyesuaikan diri dengan situasi baharu ini. Pasukan telah bekerja keras sejak beberapa minggu yang lepas dan berhak untuk mendapat keputusan lebih baik pada hari ini (semalam).

“Saya gagal mempamerkan prestasi yang cukup meyakinkan untuk bersaing dalam kelompok pelumba yang ramai. Saya mampu untuk kekal di dalam kumpulan itu, tetapi saya gagal memintas mereka,” katanya.

Menurut Zulfahmi, jika berjaya mengatasi masalah tersebut, dia yakin mampu untuk memacu jentera dengan lebih pantas.