Kedua-dua pelumba negara itu yang kini berada di Sepanyol amat berharap sesi ujian rasmi Moto2 dan Moto3 yang akan bermula esok hingga 8 Mac ini di Litar Jerez dapat dimanfaat sebaik mungkin bagi mendapatkan pelarasan motosikal terbaik, selain memperba­i­­ki catatan masa sebelum per­saingan sebenar bermula.

Zulfahmi dalam kenyataan kepada media berkata, dia amat menantikan sesi ujian di Jerez kerana selepas menguji jentera Kalex di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan lalu, keputusan yang lebih kompetitif diharap dapat dicipta­nya sebelum perlumbaan di Qatar.

“Saya amat berharap persembahan saya akan lebih kompetitif di Jerez kerana keserasian saya dengan jentera semakin baik. Kami telah mencuba pelbagai cara ketika membuat pelarasan motosikal di Sepang dan saya berjaya melengkapkan latihan di SIC dengan sempurna,” katanya di sini, hari ini.

Walaupun anak kelahiran Banting, Selangor itu mengakui Litar Jerez begitu jauh berbeza dengan trek di Sepang, tetapi dia amat berharap pasukannya tidak perlu melakukan terlalu banyak perubahan bagi mencari prestasi yang dimahukan pada jentera.

Jelasnya, sesi ujian di Jerez merupakan kali pertama pelumba dalam kelas Moto2 akan bersaing dalam tempoh yang sama, jadi semua orang sudah pasti akan memberi tumpuan kepada catatan masa sepusingan.

“Saya menjangkakan sesi ujian kali ini pasti mencabar, tetapi saya telah bersedia. Saya memiliki krew dan motosikal yang bagus. Saya yakin kami mampu meningkatkan prestasi sebelum perlumbaan sebenar di Qatar,” ujarnya.

Sementara itu, bagi pelumba Moto3, Adam memberitahu, untuk sesi ujian kali ini fokusnya ialah bagi memperbaiki catatan masa sepusingan dan berharap dapat menempatkan diri dalam kelompok teratas.

“Amat penting untuk memanfaatkan sesi ujian terakhir ini bagi meningkatkan kelajuan motosikal dan bersedia dari segi mental menjelang perlumbaan pertama,” katanya.