Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu, mencatat masa terpantas 1 minit 30.424 saat(s) pada sesi latihan bebas ketiga, mengatasi catatan pelumba tempatan, Andi Farid Izdihar, dari pasukan Astra Honda Racing Team, yang mencatat masa terbaik 1:30.617s.

Ahmad Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki Racing), muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 1:31.029s, manakala seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman mencatat masa terbaik 1:31.422s.

“Saya agak berpuas hati dengan aksi hari ini, namun masih terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki untuk sesi kelayakan esok.

“Dalam sesi latihan pertama dan kedua, saya masih mencari rentak dan pelarasan terbaik sebelum dapat menyesuaikan diri dengan litar, berbanding dengan pelumba tuan rumah yang dilihat cepat menguasai jentera di litar ini,” jelas Zaqhwan.

Sementara itu, dalam saingan Asia Production 250cc, Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing), muncul pelumba terbaik negara dengan catatan masa 1:45.062s untuk berada di kedudukan ke-15.

Dalam kategori Underbone 150cc, dua pelumba negara mendahului sesi kelayakan, diketuai pendahulu keseluruhan, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing), yang mencatat masa terpantas 1:48.692s, diikuti Md Amirul Ariff Musa (Yuzy Honda Vietnam Racing), di kedudukan kedua dengan masa 1:49.339s.-UTUSAN ONLINE